26 Aku membiarkan mereka menajiskan diri dengan persembahan mereka sendiri. Aku membiarkan mereka mempersembahkan anak lelaki sulung mereka sebagai korban. Hal itu berlaku untuk menghukum mereka supaya mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.
27 Sekarang, hai manusia fana, sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada mereka. Nenek moyang mereka menghina Aku lagi dengan ketidaksetiaan mereka.
28 Aku membawa mereka ke tanah yang Aku janjikan, tetapi apabila mereka nampak bukit yang tinggi-tinggi dan pokok hijau, mereka mempersembahkan korban di tempat-tempat itu. Mereka membangkitkan kemurkaan-Ku dengan korban yang dibakar dan wain yang dipersembahkan mereka.
29 Aku bertanya: Apakah tempat-tempat tinggi yang kamu kunjungi itu? Sejak itu tempat itu dinamakan ‘Tempat-tempat tinggi’.
30 Oleh itu sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan kepada umat Israel: Mengapakah kamu mesti berdosa seperti nenek moyang kamu, dan mengejar berhala-berhala mereka?
31 Bahkan sampai hari ini pun kamu memberikan persembahan yang sama, dan menajiskan diri dengan membakar anak-anak kamu sebagai korban kepada berhala-berhala. Kemudian kamu, hai umat Israel, datang pula untuk menanyakan kehendak-Ku! Demi Aku, Allah yang hidup, TUHAN Raja, Aku tidak akan membenarkan kamu menanyakan apa-apa pun.
32 Kamu bertekad menjadi seperti bangsa-bangsa lain, seperti orang yang tinggal di negeri-negeri lain dan yang menyembah pokok dan batu. Hal itu pasti tidak akan berlaku.”