3 “Hai manusia fana, berkatalah kepada pemimpin-pemimpin ini. Beritahulah mereka bahawa Aku, TUHAN Raja berfirman begini: Kamu datang hendak menanyakan kehendak-Ku, bukan? Demi Aku, Allah yang hidup, Aku tidak akan membenarkan kamu menanyakan apa-apa pun. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.
4 Hai manusia fana, adakah engkau bersedia menjatuhkan hukuman kepada mereka? Kalau engkau sedia melakukan hal itu, ingatkanlah mereka tentang segala perbuatan jijik yang dilakukan oleh nenek moyang mereka.
5 Sampaikanlah firman-Ku kepada mereka. Ketika Aku memilih Israel, Aku membuat perjanjian dengan mereka. Aku menyatakan diri-Ku kepada mereka di Mesir dan memberitahu mereka, ‘Akulah TUHAN, Allah kamu.’
6 Ketika itulah Aku berjanji akan membawa mereka keluar dari Mesir, dan memimpin mereka ke tanah yang telah Kupilih untuk mereka, tanah yang kaya dan subur, dan terbaik.
7 Aku menyuruh mereka membuang berhala yang menjijikkan, yang disukai mereka, dan melarang mereka menajiskan diri dengan menyembah berhala orang Mesir, kerana Akulah TUHAN, Allah mereka.
8 Tetapi mereka melawan Aku dan tidak mahu mendengar firman-Ku. Mereka tidak membuang berhala-berhala yang menjijikkan itu, ataupun berhenti menyembah berhala orang Mesir. Pada waktu mereka masih di Mesir, Aku telah bersedia untuk membiarkan mereka merasakan segala kedahsyatan kemurkaan-Ku.
9 Tetapi Aku tidak berbuat demikian, kerana hal itu akan menyebabkan nama-Ku dihina. Di hadapan penduduk Mesir, Aku telah mengumumkan kepada umat Israel bahawa Aku akan memimpin mereka keluar dari Mesir.