31 Bahkan sampai hari ini pun kamu memberikan persembahan yang sama, dan menajiskan diri dengan membakar anak-anak kamu sebagai korban kepada berhala-berhala. Kemudian kamu, hai umat Israel, datang pula untuk menanyakan kehendak-Ku! Demi Aku, Allah yang hidup, TUHAN Raja, Aku tidak akan membenarkan kamu menanyakan apa-apa pun.
32 Kamu bertekad menjadi seperti bangsa-bangsa lain, seperti orang yang tinggal di negeri-negeri lain dan yang menyembah pokok dan batu. Hal itu pasti tidak akan berlaku.”
33-34 “Demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, Aku memberikan amaran kepada kamu bahawa kerana kemurkaan-Ku, Aku akan memerintah kamu dengan keras dan tegas. Kamu akan merasakan kuasa dan kemurkaan-Ku apabila Aku mengumpulkan dan membawa kamu kembali dari negeri-negeri tempat kamu tercerai-cerai.
35 Aku akan membawa kamu ke ‘Gurun Bangsa-Bangsa’. Di sana Aku akan menghakimi kamu berhadapan muka.
36 Aku akan menghakimi kamu seperti Aku menghakimi nenek moyang kamu di padang gurun Sinai dahulu.” Demikianlah firman TUHAN Raja.
37 “Aku akan bertindak tegas terhadap kamu supaya kamu mentaati perjanjian-Ku.
38 Aku akan menyingkirkan orang yang memberontak dan berdosa di kalangan kamu. Aku akan membawa mereka keluar dari negeri-negeri tempat mereka tinggal sekarang, dan Aku tidak akan mengizinkan mereka kembali ke negeri Israel. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.”