42 Apabila Aku membawa kamu pulang ke negeri Israel, tanah yang Aku janjikan kepada nenek moyang kamu, barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.
43 Kamu akan teringat segala perbuatan yang memalukan dan yang telah menajiskan diri kamu. Kamu akan berasa muak terhadap diri kamu sendiri kerana segala kejahatan yang kamu lakukan itu.
44 Apabila Aku bertindak untuk menjaga kehormatan nama-Ku, kamu umat Israel akan tahu bahawa Akulah TUHAN, kerana Aku tidak memperlakukan kamu setimpal dengan perbuatan kamu yang kejam dan jahat.” TUHAN Raja telah berfirman.
45 TUHAN berfirman kepadaku,
46 “Hai manusia fana, lihatlah ke arah selatan. Kecamlah tanah selatan dan bernubuatlah menentang hutan di sana.
47 Suruhlah hutan di selatan itu mendengarkan apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan: Aku akan menyalakan api yang membakar setiap pokok di hutan itu, baik yang hijau mahupun yang kering. Api yang menyala-nyala itu tidak dapat dipadamkan tetapi akan merebak dari selatan ke utara, dan setiap orang akan merasa bahang api itu.
48 Semua orang akan tahu bahawa Aku, TUHAN menyalakan api itu, dan api itu tidak dapat dipadamkannya.”