19-20 Oleh itu Aku, TUHAN Raja memberitahu mereka sekarang, bahawa mereka tidak berguna seperti sanga itu. Sebagaimana orang memasukkan bijih perak, tembaga, besi, dan timah hitam ke dalam relau, demikian juga Aku akan mengumpulkan dan membawa mereka ke Yerusalem. Sebagaimana api melebur bijih logam, demikian juga kemurkaan-Ku akan melebur mereka.
21 Sesungguhnya Aku akan mengumpulkan mereka di Yerusalem, menyalakan api kemurkaan-Ku di bawah mereka, lalu melebur mereka.
22 Sebagaimana perak dilebur di dalam relau, demikianlah Israel akan dilebur di Yerusalem. Barulah mereka tahu bahawa mereka merasakan kemurkaan TUHAN.”
23 TUHAN berfirman lagi kepadaku,
24 “Hai manusia fana, beritahulah umat Israel bahawa negeri mereka tidak suci. Oleh itu Aku murka dan menghukum mereka.
25 Pemimpin-pemimpin mereka seperti singa yang mengaum setelah menerkam mangsa. Mereka membunuh orang, merampas segala wang dan harta, serta menyebabkan banyak wanita menjadi balu.
26 Para imam melanggar hukum-Ku dan tidak menghormati apa yang suci bagi-Ku. Mereka tidak membezakan apa yang suci dan apa yang tidak suci. Mereka tidak mengajar perbezaan antara yang halal dan yang haram. Mereka tidak menghiraukan hari Sabat. Akibatnya umat Israel tidak menghormati Aku.