24 “Hai manusia fana, beritahulah umat Israel bahawa negeri mereka tidak suci. Oleh itu Aku murka dan menghukum mereka.
25 Pemimpin-pemimpin mereka seperti singa yang mengaum setelah menerkam mangsa. Mereka membunuh orang, merampas segala wang dan harta, serta menyebabkan banyak wanita menjadi balu.
26 Para imam melanggar hukum-Ku dan tidak menghormati apa yang suci bagi-Ku. Mereka tidak membezakan apa yang suci dan apa yang tidak suci. Mereka tidak mengajar perbezaan antara yang halal dan yang haram. Mereka tidak menghiraukan hari Sabat. Akibatnya umat Israel tidak menghormati Aku.
27 Pegawai kerajaan sama seperti serigala yang mencarik-carik mangsa mereka. Mereka melakukan pembunuhan untuk menjadi kaya.
28 Para nabi menyembunyikan dosa-dosa itu seperti orang mengapuri tembok. Mereka nampak penglihatan yang palsu, dan mereka membuat ramalan yang palsu juga. Mereka mengatakan bahawa mereka menyampaikan firman daripada TUHAN Raja, padahal Aku, TUHAN tidak berfirman kepada mereka.
29 Orang kaya menipu dan merompak. Mereka menganiaya orang miskin dan memperdayakan orang asing.
30 Aku mencari seorang yang dapat membina tembok, yang dapat berdiri di bahagian tembok yang sudah roboh untuk mempertahankan negeri ketika Aku hendak memusnahkannya kerana Aku murka, tetapi tidak seorang pun Aku temui.