10 Aku akan membiarkan Moab bersama-sama Amon dikalahkan oleh suku-suku dari gurun di sebelah timur, sehingga Moab bukan satu bangsa lagi.
11 Aku akan menghukum Moab, maka penduduknya akan tahu bahawa Akulah TUHAN.”
12 TUHAN Raja berfirman, “Penduduk Edom telah membalas Yehuda dengan kejam. Perbuatan Edom itu kesalahan besar.
13 Sekarang Aku mengumumkan bahawa Aku akan menghukum Edom. Aku akan membunuh semua orang dan binatang yang tinggal di situ. Aku akan memusnahkan negeri itu, dari kota Teman sampai ke kota Dedan. Penduduknya akan mati dalam peperangan.
14 Umat-Ku Israel akan Kusuruh untuk membalas dendam terhadap Edom. Mereka akan membiarkan Edom merasakan kemurkaan-Ku yang dahsyat. Edom akan tahu bagaimana rasanya menjadi sasaran kemarahan-Ku.” TUHAN Raja telah berfirman.
15 TUHAN Raja berfirman, “Orang Filistin telah membalas dendam dengan kejam terhadap musuh mereka sejak dahulu, dan membinasakan mereka dengan penuh kebencian.
16 Sekarang Aku mengumumkan bahawa Aku akan menyerang orang Filistin dan membinasakan mereka. Aku akan membinasakan setiap orang yang masih hidup di kawasan pantai negeri itu.