16 Israel tidak akan meminta pertolongan mereka lagi. Apabila orang Israel mengingat apa yang berlaku kepada orang Mesir, orang Israel akan sedar betapa salahnya bergantung kepada pertolongan orang Mesir. Maka orang Israel akan tahu bahawa Akulah TUHAN Raja.”
17 Pada hari pertama, bulan pertama, tahun kedua puluh tujuh masa kami dalam buangan, TUHAN berfirman kepadaku,
18 “Hai manusia fana, Raja Nebukadnezar dari Babilonia telah menyerang Tirus. Dia menyuruh askarnya memikul beban yang begitu berat sehingga kepala mereka menjadi botak dan bahu mereka lecet. Namun raja mahupun tenteranya tidak berjaya merebut kota itu.
19 Oleh itu Aku, TUHAN Raja berfirman, ‘Aku akan memberikan negeri Mesir kepada Raja Nebukadnezar. Dia akan menjarah negeri itu dan merampas segala harta negeri itu sebagai upah tenteranya.
20 Aku akan menyerahkan Mesir kepadanya sebagai balasan jasanya, kerana tenteranya telah berkhidmat kepada-Ku. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.’
21 Apabila perkara itu berlaku, Aku akan menjadikan umat Israel bangsa yang kuat. Aku akan memungkinkan engkau, hai Yehezkiel, berkata-kata kepada mereka, supaya mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.”