4 Aku akan memasang kait pada rahangmu, dan menyebabkan ikan-ikan di sungai melekat padamu. Lalu Aku akan mengangkat engkau dan segala ikan yang melekat padamu, keluar dari Sungai Nil.
5 Kemudian Aku akan melemparkan engkau bersama-sama semua ikan itu ke padang gurun. Tubuhmu akan terlantar di atas tanah dan tidak dikebumikan. Aku akan membiarkan tubuhmu dimakan burung dan binatang.
6 Maka semua penduduk Mesir akan tahu bahawa Akulah TUHAN.’ ”TUHAN berfirman, “Umat Israel bergantung kepada kamu orang Mesir untuk menolong mereka, tetapi kamu hanya seperti tongkat yang lemah.
7 Ketika mereka bersandar pada kamu, kamu patah dan menusuk ketiak mereka sehingga belakang mereka tergeliat.
8 Oleh itu Aku, TUHAN Raja berfirman kepada kamu, bahawa Aku akan mendatangkan orang untuk menyerang kamu dengan pedang. Mereka akan membunuh penduduk dan ternakan kamu.
9 Mesir akan menjadi tandus dan lengang. Maka kamu akan tahu bahawa Akulah TUHAN.Hai raja Mesir! Kerana engkau mengatakan Sungai Nil itu milikmu, dan engkau yang menciptanya,
10 maka Aku menjadi musuhmu dan musuh sungaimu. Aku akan menjadikan seluruh Mesir tandus dan lengang, mulai dari kota Migdol di sebelah utara sampai ke kota Aswan di sebelah selatan, bahkan sampai ke sempadan Etiopia.