1 Allah berfirman, “Hai manusia fana, makanlah gulungan naskhah ini, lalu pergilah dan bercakaplah kepada umat Israel.”
2 Oleh itu aku membuka mulut dan Dia pun memberikan gulungan naskhah itu kepadaku supaya dimakan.
3 Dia berfirman, “Hai manusia fana, makanlah gulungan naskhah yang Aku berikan ini dan isilah perutmu dengannya.” Aku memakannya dan rasanya manis seperti madu.
4 Lalu Allah berfirman, “Hai manusia fana, pergilah kepada umat Israel dan sampaikanlah segala firman-Ku kepada mereka.
5 Aku tidak mengutus engkau kepada suatu bangsa yang bahasanya asing dan susah bagimu tetapi Aku mengutus engkau kepada umat Israel.
6 Jika Aku mengutus engkau kepada bangsa-bangsa yang berbahasa asing dan tidak engkau fahami, mereka akan mendengar engkau.
7 Tetapi tidak seorang pun antara umat Israel akan mendengar engkau kerana mereka tidak mahu mendengar Aku. Mereka semua degil dan suka melawan.