15 Maka tibalah aku di Tel-Abib di tepi Sungai Kebar, tempat tinggal orang buangan. Selama tujuh hari aku tinggal di situ, dan aku terpegun kerana segala yang telah aku lihat dan dengar.
16 Tujuh hari kemudian, TUHAN berfirman kepadaku,
17 “Hai manusia fana, Aku mengangkat engkau menjadi penjaga bangsa Israel. Hendaklah engkau menyampaikan amaran yang Kuberikan kepada engkau untuk mereka.
18 Jika Aku memberitahukan bahawa seorang yang jahat akan mati, tetapi engkau tidak menyampaikan amaran-Ku kepadanya agar mengubah kelakuan supaya dia selamat, maka dia akan mati sebagai seorang berdosa, dan Aku menganggap engkau bertanggungjawab terhadap kematiannya.
19 Tetapi jika engkau menyampaikan amaran itu kepada seorang yang jahat namun dia tetap berbuat jahat, maka dia akan mati sebagai seorang yang berdosa, tetapi engkau akan selamat.
20 Jika seorang yang baik mula berbuat jahat, dan Aku menghadapkan dia kepada bahaya, maka dia akan mati kalau engkau tidak memberi dia amaran. Dia akan mati kerana dosanya, dan Aku tidak akan mengingat perbuatannya yang baik dahulu. Tetapi Aku akan menggangap engkau bertanggungjawab terhadap kematiannya.
21 Jika engkau memberikan amaran kepada seorang yang baik supaya jangan berdosa, lalu dia menurut nasihatmu dan tidak berdosa, maka dia akan selamat dan engkau pun akan selamat.”