Yehezkiel 32:21-27 BM

21 Para pahlawan dan orang yang memihak Mesir akan menyambut kedatangan orang Mesir ke dunia orang mati. Mereka bersorak, ‘Lihatlah, orang yang tidak mengenal Allah telah terbunuh dalam peperangan. Sekarang mereka ke mari, dan berbaring di sini!’

22 Asyur berada di sana, dikelilingi oleh kubur-kubur askarnya. Mereka semua telah terbunuh dalam peperangan,

23 dan kubur mereka terletak di bahagian yang paling dalam di dunia orang mati. Semua askarnya telah gugur dalam peperangan dan Asyur dikelilingi oleh kubur mereka. Namun pada suatu masa dahulu, mereka menimbulkan ketakutan di dunia orang hidup.

24 Elam berada di sana, dikelilingi oleh kubur-kubur askarnya. Mereka semua telah gugur dalam peperangan, lalu turun ke dunia orang mati tanpa mengenal Allah. Semasa hidup, mereka menimbulkan ketakutan antara semua orang, tetapi sekarang mereka telah mati dan menanggung malu.

25 Elam berbaring bersama-sama mereka yang terbunuh dalam peperangan, dikelilingi oleh kubur-kubur askarnya. Mereka semua tidak mengenal Allah. Semuanya gugur dalam peperangan. Semasa hidup, mereka menimbulkan ketakutan antara semua orang, tetapi sekarang mereka mati dan menanggung malu bersama-sama orang yang gugur dalam peperangan.

26 Mesekh dan Tubal berada di sana, di kelilingi oleh kubur-kubur askar mereka. Mereka semua tidak mengenal Allah, dan mereka semua gugur dalam peperangan. Namun pada suatu masa dahulu mereka menakutkan orang yang hidup.

27 Mereka tidak diberikan penguburan yang terhormat seperti pahlawan pada zaman purba yang dikebumikan lengkap dengan pedang di bawah kepala dan perisai di atas dada. Semasa hidup, pahlawan-pahlawan itu sungguh perkasa sehingga menakutkan orang hidup.