1 TUHAN berfirman kepadaku,
2 “Hai manusia fana, beritahulah bangsamu apa yang akan berlaku apabila Aku mendatangkan peperangan kepada sesuatu negeri. Penduduk negeri itu akan memilih seorang antara mereka sebagai penjaga.
3 Apabila penjaga itu nampak musuh datang, dia membunyikan trompet sebagai tanda bahaya supaya semua orang berwaspada.
4 Sesiapa mendengar bunyi tanda bahaya itu tetapi tidak mempedulikannya, dan musuh datang lalu membunuh orang itu, maka dia mati kerana kesalahannya sendiri.
5 Kematiannya akibat kesalahannya sendiri, kerana dia tidak mempedulikan tanda bahaya itu. Jika dia mempedulikan tanda bahaya itu, pasti dia selamat.