2 “Hai manusia fana, beritahulah bangsamu apa yang akan berlaku apabila Aku mendatangkan peperangan kepada sesuatu negeri. Penduduk negeri itu akan memilih seorang antara mereka sebagai penjaga.
3 Apabila penjaga itu nampak musuh datang, dia membunyikan trompet sebagai tanda bahaya supaya semua orang berwaspada.
4 Sesiapa mendengar bunyi tanda bahaya itu tetapi tidak mempedulikannya, dan musuh datang lalu membunuh orang itu, maka dia mati kerana kesalahannya sendiri.
5 Kematiannya akibat kesalahannya sendiri, kerana dia tidak mempedulikan tanda bahaya itu. Jika dia mempedulikan tanda bahaya itu, pasti dia selamat.
6 Tetapi jika penjaga itu nampak musuh datang dan tidak membunyikan tanda bahaya, lalu musuh datang serta membunuh orang berdosa, Aku akan menganggap penjaga itu bertanggungjawab atas kematian mereka.
7 Sekarang, hai manusia fana, Aku melantik engkau menjadi penjaga bangsa Israel. Engkau mesti menyampaikan amaran-Ku kepada mereka.
8 Jika Aku memberitahukan bahawa orang jahat akan mati, tetapi engkau tidak memberi mereka amaran supaya mereka mengubah kelakuan dan menyelamatkan diri, maka mereka akan mati sebagai orang berdosa. Aku akan menganggap engkau bertanggungjawab atas kematian mereka.