27 Sampaikanlah amaran daripada Aku, TUHAN Raja, kepada mereka. Demi Aku, Allah yang hidup, orang yang tinggal di reruntuhan kota-kota itu akan dibunuh. Mereka yang tinggal di kawasan desa akan dimakan binatang buas. Mereka yang bersembunyi di gunung dan di gua akan mati kerana wabak.
28 Aku akan menjadikan negeri ini padang gurun yang tandus dan lengang, dan kebesaran yang dibangga-banggakan mereka itu akan berakhir. Gunung-gunung di Israel akan menjadi begitu lengang sehingga tidak seorang pun melintasinya.
29 Apabila Aku menghukum umat itu kerana dosa mereka, dan menjadikan negeri itu tandus dan lengang, barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.”
30 TUHAN berfirman, “Hai manusia fana, bangsamu mempercakapkan engkau ketika mereka bertemu dekat tembok kota atau di depan pintu rumah mereka. Mereka berkata sesama sendiri, ‘Marilah kita dengarkan apa firman TUHAN hari ini.’
31 Maka mereka semua datang berkumpul dan sebagai umat-Ku mereka mendengar engkau, tetapi mereka tidak melakukan apa yang engkau suruh. Mereka mengucapkan kata-kata manis, tetapi hati mereka hanya memikirkan keuntungan.
32 Mereka menganggap engkau seorang penyanyi lagu cinta yang bersuara merdu dan pandai bermain kecapi. Mereka mendengar segala kata-katamu, tetapi tidak mentaatinya.
33 Tetapi apabila kata-katamu menjadi kenyataan kelak - dan tentu semuanya akan menjadi kenyataan - barulah mereka tahu bahawa seorang nabi pernah ada di kalangan mereka.”