5 Kematiannya akibat kesalahannya sendiri, kerana dia tidak mempedulikan tanda bahaya itu. Jika dia mempedulikan tanda bahaya itu, pasti dia selamat.
6 Tetapi jika penjaga itu nampak musuh datang dan tidak membunyikan tanda bahaya, lalu musuh datang serta membunuh orang berdosa, Aku akan menganggap penjaga itu bertanggungjawab atas kematian mereka.
7 Sekarang, hai manusia fana, Aku melantik engkau menjadi penjaga bangsa Israel. Engkau mesti menyampaikan amaran-Ku kepada mereka.
8 Jika Aku memberitahukan bahawa orang jahat akan mati, tetapi engkau tidak memberi mereka amaran supaya mereka mengubah kelakuan dan menyelamatkan diri, maka mereka akan mati sebagai orang berdosa. Aku akan menganggap engkau bertanggungjawab atas kematian mereka.
9 Jika engkau memberikan amaran kepada orang jahat, dan mereka tidak berhenti berdosa, mereka akan mati sebagai orang berdosa, tetapi engkau akan menyelamatkan diri sendiri.”
10 TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, ulangilah kata-kata umat Israel kepada mereka, ‘Kami merana kerana kami menanggung beban dosa dan kesalahan kami. Bagaimanakah kami dapat hidup?’
11 Beritahulah mereka bahawa demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, Aku tidak suka melihat orang berdosa mati. Aku lebih suka melihat mereka bertaubat dan hidup. Hai Israel, berhentilah berbuat dosa! Mengapakah kamu mahu mati?