9 Jika engkau memberikan amaran kepada orang jahat, dan mereka tidak berhenti berdosa, mereka akan mati sebagai orang berdosa, tetapi engkau akan menyelamatkan diri sendiri.”
10 TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, ulangilah kata-kata umat Israel kepada mereka, ‘Kami merana kerana kami menanggung beban dosa dan kesalahan kami. Bagaimanakah kami dapat hidup?’
11 Beritahulah mereka bahawa demi Aku, TUHAN Raja, Allah yang hidup, Aku tidak suka melihat orang berdosa mati. Aku lebih suka melihat mereka bertaubat dan hidup. Hai Israel, berhentilah berbuat dosa! Mengapakah kamu mahu mati?
12 Hai manusia fana, beritahulah orang Israel bahawa apabila orang baik berdosa, kebaikan mereka dahulu tidak dapat menyelamatkan mereka. Jika orang jahat berhenti berbuat dosa, mereka tidak akan dihukum. Sebaliknya jika orang baik mula berdosa, mereka tidak akan diselamatkan.
13 Aku mungkin menjanjikan hidup kepada orang baik, tetapi jika mereka menyangka bahawa kebaikan mereka dahulu akan menyelamatkan mereka, lalu mereka mula berdosa, Aku tidak akan mengingat kebaikan mereka dahulu. Mereka akan mati kerana dosa mereka.
14 Aku mungkin memberikan amaran kepada orang jahat bahawa mereka akan mati. Tetapi jika mereka berhenti berdosa lalu melakukan apa yang baik dan benar -
15 umpamanya mereka memulangkan barang orang lain atau memulangkan barang yang telah dicuri mereka - jika mereka berhenti berdosa dan mentaati hukum yang memberikan hidup, mereka tidak akan mati tetapi akan hidup.