17 Dengarlah, hai domba-domba-Ku. Aku, TUHAN Raja, memberitahu kamu bahawa Aku akan mengadili kamu masing-masing, dan memisahkan yang baik daripada yang jahat, domba daripada kambing.
18 Di kalangan kamu ada yang tidak puas hati hanya dengan memakan rumput yang terbaik, tetapi juga memijak-mijak rumput yang tidak dimakan mereka! Mereka minum air jernih, lalu mengeruhkan air yang tidak diminum mereka.
19 Domba-domba-Ku yang lain terpaksa makan rumput yang telah dipijak-pijak, dan minum air yang telah dikeruhkan.
20 Oleh itu Aku, TUHAN Raja, memberitahu kamu bahawa Aku akan menjadi hakim antara domba yang kuat dengan domba yang lemah.
21 Kamu menanduk dan menolak domba yang sakit sehingga mereka terhalau daripada kawanan domba.
22 Tetapi Aku akan menyelamatkan domba-domba-Ku dan tidak akan membiarkan mereka diperlakukan dengan kejam lagi. Aku akan menghakimi setiap domba-Ku dan memisahkan yang baik daripada yang jahat.
23 Aku akan melantik seorang raja seperti Daud, hamba-Ku, untuk menjadi satu-satunya gembala mereka, dan dia akan memelihara mereka.