7 Hai gembala-gembala, dengarlah apa yang Aku, TUHAN firmankan.
8 Demi Aku, Allah yang hidup, dengarlah firman-Ku. Domba-domba-Ku telah diterkam dan dibunuh, serta dimakan binatang buas kerana tiada gembala yang menjaga domba-domba itu. Kamu, gembala-gembala-Ku tidak berusaha untuk mencari domba-domba itu. Kamu menjaga kepentingan diri sendiri, bukan kepentingan domba-domba-Ku.
9 Oleh itu dengarlah Aku, hai kamu para gembala.
10 Aku, TUHAN Raja, mengumumkan bahawa Aku musuh kamu. Aku akan mengambil domba-domba-Ku daripada kamu, dan tidak lagi mempercayakan domba-domba itu kepada kamu. Aku tidak lagi membenarkan kamu menjaga kepentingan diri kamu sahaja. Aku akan menyelamatkan domba-domba itu supaya tidak menjadi makanan kamu.’ ”
11 TUHAN Raja berfirman, “Aku sendiri akan mencari umat Israel, domba-domba-Ku, dan memelihara mereka,
12 seperti seorang gembala mencari dan mengumpulkan domba-dombanya yang tercerai-cerai. Aku akan mengumpulkan mereka dari tempat mereka tercerai-cerai pada malam yang gelap dan nahas itu.
13 Aku akan mengeluarkan mereka dari negeri-negeri asing dan mengumpulkan mereka, lalu membawa mereka pulang ke tanah air mereka. Aku akan membawa mereka balik ke gunung-gunung dan lembah-lembah di Israel. Aku akan memberi mereka makan di padang-padang rumput yang subur.