18 Aku membiarkan mereka merasakan segala kemurkaan-Ku kerana mereka telah melakukan banyak pembunuhan di negeri itu, dan mencemarkannya dengan berhala-berhala mereka.
19 Aku menghukum mereka setimpal dengan cara hidup dan kelakuan mereka, lalu Aku mencerai-beraikan mereka ke negeri-negeri asing.
20 Ke mana sahaja mereka pergi, mereka mencemarkan nama-Ku yang suci kerana orang berkata, ‘Lihatlah, mereka umat TUHAN, tetapi mereka terpaksa meninggalkan negeri yang diberikan-Nya kepada mereka.’
21 Aku mengambil berat terhadap nama-Ku yang suci, yang telah dicemarkan oleh orang Israel ke mana sahaja mereka pergi.
22 Oleh itu sampaikanlah perkhabaran daripada Aku, TUHAN Raja kepada orang Israel: Apa yang akan Aku lakukan bukan kerana kepentingan kamu umat Israel, tetapi kerana kepentingan nama-Ku yang suci, yang telah kamu cemarkan di setiap negeri kamu pergi.
23 Apabila Aku menunjukkan kesucian nama-Ku yang mulia kepada bangsa-bangsa - nama yang telah kamu cemarkan antara mereka - barulah bangsa-bangsa akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Aku akan menggunakan kamu untuk menunjukkan kesucian-Ku kepada mereka.
24 Aku akan mengumpulkan kamu dari setiap negeri dan daripada setiap bangsa lalu membawa kamu pulang ke negeri kamu sendiri.