20 Ke mana sahaja mereka pergi, mereka mencemarkan nama-Ku yang suci kerana orang berkata, ‘Lihatlah, mereka umat TUHAN, tetapi mereka terpaksa meninggalkan negeri yang diberikan-Nya kepada mereka.’
21 Aku mengambil berat terhadap nama-Ku yang suci, yang telah dicemarkan oleh orang Israel ke mana sahaja mereka pergi.
22 Oleh itu sampaikanlah perkhabaran daripada Aku, TUHAN Raja kepada orang Israel: Apa yang akan Aku lakukan bukan kerana kepentingan kamu umat Israel, tetapi kerana kepentingan nama-Ku yang suci, yang telah kamu cemarkan di setiap negeri kamu pergi.
23 Apabila Aku menunjukkan kesucian nama-Ku yang mulia kepada bangsa-bangsa - nama yang telah kamu cemarkan antara mereka - barulah bangsa-bangsa akan tahu bahawa Akulah TUHAN. Aku, TUHAN Raja telah berfirman. Aku akan menggunakan kamu untuk menunjukkan kesucian-Ku kepada mereka.
24 Aku akan mengumpulkan kamu dari setiap negeri dan daripada setiap bangsa lalu membawa kamu pulang ke negeri kamu sendiri.
25 Aku akan memercikkan air bersih pada kamu, dan membersihkan kamu daripada segala berhala kamu dan segala sesuatu yang telah menajiskan kamu.
26 Aku akan memberi kamu hati dan fikiran yang baru. Aku akan menggantikan hati kamu yang keras dengan hati yang taat.