32 Ketahuilah hai Israel, Aku tidak melakukan semua itu untuk kepentingan kamu. Sebaliknya Aku hendak kamu berasa malu dan hina kerana perbuatan kamu itu. Aku, TUHAN Raja, telah berfirman.”
33 TUHAN Raja berfirman, “Setelah Aku membersihkan kamu daripada segala dosa kamu, Aku akan membenarkan kamu tinggal lagi di kota-kota kamu, dan membina semula runtuhannya.
34 Setiap orang yang telah lalu di ladang-ladang kamu nampak betapa tandusnya tanah itu, tetapi Aku akan membiarkan kamu mengusahakan tanah itu semula.
35 Lalu setiap orang akan berkata bahawa tanah yang dahulu tandus sudah menjadi seperti Taman Eden, dan kota-kota yang telah dirobohkan, dijarah, dan dibiarkan runtuh, sekarang menjadi kota berkubu dan didiami orang.
36 Barulah bangsa-bangsa jiran yang masih terselamat akan tahu bahawa Aku, TUHAN membina semula kota-kota yang telah runtuh dan mengusahakan semula tanah yang tandus. Aku, TUHAN, telah berjanji akan melakukan perkara itu dan Aku pasti akan melakukannya.”
37 TUHAN Raja berfirman, “Sekali lagi Aku akan membenarkan umat Israel meminta pertolongan-Ku, dan Aku akan menambah bilangan mereka seperti sekawanan domba.
38 Kota-kota yang sekarang runtuh akan penuh dengan orang, seperti dahulunya Yerusalem penuh dengan domba yang dipersembahkan pada hari perayaan. Barulah mereka tahu bahawa Akulah TUHAN.”