6 Oleh itu bernubuatlah kepada negeri Israel. Sampaikanlah apa yang Aku, TUHAN Raja, firmankan dengan sangat murka kepada gunung, bukit, sungai kecil, serta lembah, kerana bangsa-bangsa itu telah menghina dan memandang rendah kepada tempat-tempat itu.
7 Aku, TUHAN Raja, bersumpah bahawa bangsa-bangsa di sekitar itu akan dihina.
8 Tetapi pokok-pokok di pergunungan Israel akan berdaun serta berbuah semula bagi kamu, hai Israel, umat-Ku. Tidak lama lagi kamu akan pulang.
9 Aku memihak kamu. Aku akan memastikan supaya tanah kamu dibajak dan ditanami benih semula.
10 Aku akan menambah bilangan kamu. Kamu akan tinggal di kota-kota dan membina semula segala yang telah runtuh.
11 Aku akan menambah bilangan penduduk dan ternak kamu. Bilangan kamu akan menjadi lebih besar daripada dahulu. Kamu akan beroleh banyak anak. Aku akan membenarkan kamu tinggal di sana seperti dahulu, dan Aku akan membuat kamu lebih makmur seperti yang belum pernah kamu alami. Barulah kamu tahu bahawa Akulah TUHAN.
12 Aku akan membawa kamu, Israel, umat-Ku pulang supaya kamu dapat tinggal di negeri itu lagi. Negeri itu akan menjadi milik kamu, dan akan selalu memberikan hasilnya supaya anak-anak kamu tidak mati kelaparan.