Yehezkiel 42:6-14 BM

6 Bilik-bilik itu bertingkat tiga dan tidak ditunjang oleh tiang seperti bangunan lain di halaman itu.

7-8 Separuh daripada tingkat bawah, sepanjang 25 meter merupakan tembok sahaja, sedangkan pada bahagian separuh lagi, juga sepanjang 25 meter, dibina bilik-bilik. Pada tingkat yang paling atas ada bilik-bilik di sepanjang bangunan itu.

9-10 Di bawah bilik-bilik di hujung sebelah timur bangunan itu, iaitu pada pangkal tembok, ada pintu yang menuju ke halaman luar.Di bahagian selatan Rumah TUHAN ada sebuah bangunan yang serupa itu juga dan letaknya tidak jauh dari bangunan di sebelah barat.

11 Di depan bilik-biliknya terdapat juga lorong seperti yang di sebelah utara. Ukurannya sama, rekabentuknya sama, dan pintu-pintu masuknya pun sama.

12 Di bawah bilik-bilik di sebelah selatan bangunan itu, iaitu di hujung sebelah timur pada pangkal tembok, ada juga sebuah pintu.

13 Lelaki itu berkata kepadaku, “Kedua-dua buah bangunan ini suci. Di sinilah para imam yang menghadap TUHAN makan persembahan yang paling suci. Oleh sebab bilik-bilik itu suci, para imam akan meletakkan persembahan yang paling suci di situ: korban untuk mengucap syukur kepada TUHAN, korban untuk mengampunkan dosa, dan korban untuk membayar ganti rugi.

14 Apabila para imam yang di dalam Rumah TUHAN hendak keluar ke halaman luar, mereka harus meninggalkan pakaian yang suci di dalam bilik-bilik itu. Pakaian itu dipakai ketika mereka melayani TUHAN. Mereka mesti memakai pakaian lain sebelum keluar ke tempat orang ramai berkumpul.”