1 Lelaki itu membawa aku ke pintu gerbang yang menghadap ke sebelah timur.
2 Di situ aku nampak cahaya berkilauan datang dari timur, yang menandakan hadirat Allah Israel. Suara Allah nyaring seperti deru ombak laut, dan bumi bergemerlapan kerana cahaya hadirat Allah.
3 Penglihatan ini sama seperti yang aku nampak ketika Allah memusnahkan Yerusalem, dan seperti yang aku nampak di tebing Sungai Kebar. Lalu aku bersujud sampai ke tanah.
4 Cahaya yang berkilauan itu bergerak melalui pintu gerbang timur dan masuk ke dalam Rumah TUHAN.
5 Roh TUHAN mengangkat aku dan membawa aku ke halaman dalam. Di situ aku nampak Rumah TUHAN dipenuhi cahaya kemuliaan TUHAN.
6 Lelaki itu berdiri di sisiku, lalu aku mendengar TUHAN berfirman kepadaku dari dalam Rumah TUHAN,
7 “Hai manusia fana, inilah takhta-Ku. Aku akan tinggal di sini, di tengah-tengah umat Israel, dan Aku akan memerintah mereka selama-lamanya. Umat Israel dan raja-raja mereka tidak akan lagi mencemarkan nama-Ku yang suci dengan menyembah berhala, atau dengan menguburkan jenazah raja mereka di tempat ini.