4 Cahaya yang berkilauan itu bergerak melalui pintu gerbang timur dan masuk ke dalam Rumah TUHAN.
5 Roh TUHAN mengangkat aku dan membawa aku ke halaman dalam. Di situ aku nampak Rumah TUHAN dipenuhi cahaya kemuliaan TUHAN.
6 Lelaki itu berdiri di sisiku, lalu aku mendengar TUHAN berfirman kepadaku dari dalam Rumah TUHAN,
7 “Hai manusia fana, inilah takhta-Ku. Aku akan tinggal di sini, di tengah-tengah umat Israel, dan Aku akan memerintah mereka selama-lamanya. Umat Israel dan raja-raja mereka tidak akan lagi mencemarkan nama-Ku yang suci dengan menyembah berhala, atau dengan menguburkan jenazah raja mereka di tempat ini.
8 Raja-raja mereka itu telah membina ambang dan tiang pintu istana mereka di samping ambang dan tiang pintu Rumah-Ku, sehingga hanya satu tembok memisahkan mereka daripada Aku. Mereka mencemarkan nama-Ku yang suci dengan segala perbuatan mereka yang menjijikkan. Oleh itu Aku membinasakan mereka kerana Aku sangat murka.
9 Sekarang mereka mesti berhenti menyembah berhala dan memindahkan jenazah raja-raja mereka. Jika mereka berbuat demikian Aku akan tinggal di tengah-tengah mereka selama-lamanya.”
10 Lalu TUHAN berfirman lagi, “Hai manusia fana, beritahulah umat Israel tentang Rumah-Ku dan suruhlah mereka meneliti rekabentuknya. Permalukan mereka kerana dosa mereka.