Yehezkiel 43:8-14 BM

8 Raja-raja mereka itu telah membina ambang dan tiang pintu istana mereka di samping ambang dan tiang pintu Rumah-Ku, sehingga hanya satu tembok memisahkan mereka daripada Aku. Mereka mencemarkan nama-Ku yang suci dengan segala perbuatan mereka yang menjijikkan. Oleh itu Aku membinasakan mereka kerana Aku sangat murka.

9 Sekarang mereka mesti berhenti menyembah berhala dan memindahkan jenazah raja-raja mereka. Jika mereka berbuat demikian Aku akan tinggal di tengah-tengah mereka selama-lamanya.”

10 Lalu TUHAN berfirman lagi, “Hai manusia fana, beritahulah umat Israel tentang Rumah-Ku dan suruhlah mereka meneliti rekabentuknya. Permalukan mereka kerana dosa mereka.

11 Lalu jika mereka malu akan perbuatan mereka, jelaskanlah pelan Rumah-Ku kepada mereka: rekabentuk, pintu-pintu, bentuk, susunan bangunan, dan segala peraturan serta hukumnya. Tuliskanlah semuanya supaya mereka dapat melihat dan memperhatikan cara mengatur segala sesuatu, dan mentaati semua peraturannya.

12 Inilah hukum utama tentang Rumah TUHAN: Seluruh kawasan di sekelilingnya di puncak gunung itu sangat suci.”

13 Inilah ukuran mazbah menurut ukuran yang digunakan untuk mengukur Rumah TUHAN. Di sekeliling bahagian bawah mazbah itu ada sebuah parit yang dalamnya 50 sentimeter dan lebarnya 50 sentimeter juga, dengan pinggiran di tepi luarnya setinggi 25 sentimeter.

14 Dari parit ke jalur mazbah yang paling bawah, tingginya 1 meter. Bahagian tengah mazbah itu tingginya 2 meter, dan 50 sentimeter lebih sempit daripada lingkar bahagian bawah mazbah. Bahagian ketiga, iaitu puncak mazbah, juga 50 sentimeter lebih sempit daripada lingkar bahagian tengahnya.