11 Mereka boleh bekerja di Rumah-Ku dengan menjaga pintu gerbang dan melakukan tugas di dalam Rumah-Ku. Mereka boleh menyembelih binatang yang dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku, dan sebagai persembahan daripada umat, dan mereka wajib untuk sentiasa melayani umat.
12 Tetapi, kerana mereka melakukan upacara penyembahan berhala untuk bangsa Israel, dan dengan perbuatan itu menyebabkan umat berdosa, maka Aku, TUHAN Raja bersumpah bahawa mereka mesti dihukum.
13 Mereka tidak boleh melayani Aku sebagai imam, atau menghampiri apa-apa yang suci bagi-Ku, ataupun masuk ke Bilik Maha Suci. Inilah hukuman bagi perbuatan jijik yang dilakukan mereka.
14 Sekarang Aku menugaskan mereka melakukan pekerjaan kasar yang perlu dilaksanakan di Rumah-Ku.”
15 TUHAN Raja berfirman, “Para imam Lewi daripada keturunan Zadok, tetap setia bekerja untuk Aku apabila umat Israel meninggalkan Aku. Oleh itu, sekarang merekalah yang akan bekerja untuk Aku dan datang ke hadirat-Ku untuk mempersembahkan lemak serta darah korban.
16 Hanya mereka yang boleh masuk ke dalam Rumah-Ku, bertugas di mazbah-Ku, dan memimpin ibadat di situ.
17 Apabila mereka masuk ke halaman dalam melalui pintu gerbang, mereka harus memakai pakaian linen. Mereka tidak boleh memakai pakaian daripada bulu domba apabila sedang bertugas di halaman dalam atau di dalam Rumah-Ku.