4 Kemudian lelaki itu membawa aku ke depan Rumah TUHAN melalui pintu gerbang utara. Aku nampak Rumah TUHAN diliputi cahaya berkilauan yang menandakan hadirat TUHAN. Aku bersujud sampai ke tanah,
5 lalu TUHAN berfirman kepadaku, “Hai manusia fana, perhatikanlah semua yang engkau lihat dan dengar. Aku akan memberitahu engkau peraturan-peraturan bagi Rumah-Ku ini. Perhatikanlah baik-baik sesiapa yang diizinkan masuk Rumah-Ku dan sesiapa yang dilarang.
6 Beritahulah Israel, bangsa pemberontak itu, bahawa Aku, TUHAN Raja, tidak mahu lagi membiarkan mereka melakukan perbuatan jijik.
7 Mereka telah mencemarkan Rumah-Ku dengan mengizinkan orang asing yang tidak bersunat dan tidak taat kepada-Ku, masuk ke dalam Rumah-Ku, ketika orang mempersembahkan lemak dan darah korban kepada-Ku. Dengan segala perbuatan yang menjijikkan itu, mereka telah melanggar perjanjian-Ku dengan mereka.
8 Bukan mereka sendiri yang melakukan upacara suci dalam Rumah-Ku, melainkan orang asing yang ditugaskan mereka untuk melakukannya.
9 Aku, TUHAN Raja mengumumkan bahawa orang asing yang tidak bersunat dan orang yang tidak taat kepada-Ku, tidak boleh masuk ke dalam Rumah-Ku. Orang asing yang tinggal antara umat Israel pun tidak boleh masuk.”
10 TUHAN berfirman kepadaku, “Aku hendak menghukum orang Lewi yang bersama-sama umat Israel yang lain telah meninggalkan Aku dan menyembah berhala.