17 Tetapi pada perayaan-perayaan bulan baru, hari Sabat, dan hari perayaan yang lain, penguasa bertanggungjawab menyediakan binatang untuk dipersembahkan sebagai korban, dan juga korban untuk mengucap syukur kepada-Ku, serta korban wain bagi seluruh bangsa Israel. Dialah yang bertanggungjawab menyediakan korban untuk mengampunkan dosa, korban untuk mengucap syukur kepada-Ku, korban untuk menyenangkan hati-Ku, dan korban untuk memohon berkat-Ku. Maka Aku akan mengampunkan dosa umat Israel.”
18 TUHAN Raja berfirman, “Pada hari pertama, bulan pertama, kamu harus menyucikan Rumah-Ku dengan mempersembahkan seekor lembu jantan muda yang tidak ada cacat.
19 Lalu imam harus mengambil darah daripada korban untuk mengampunkan dosa itu, lalu menyapukannya pada tiang-tiang pintu Rumah TUHAN, keempat-empat sudut mazbah, dan tiang-tiang pintu gerbang yang menuju ke halaman dalam.
20 Pada hari ketujuh, bulan itu, kamu harus berbuat demikian juga untuk sesiapa sahaja yang berdosa dengan tidak sengaja atau tanpa diketahuinya. Dengan demikian, kamu akan menjaga kesucian Rumah-Ku.
21 Pada hari keempat belas, bulan pertama, kamu harus merayakan Perayaan Paska. Selama tujuh hari perayaan itu, semua orang harus makan roti yang tidak beragi.
22 Pada hari pertama perayaan itu, penguasa yang memerintah harus mempersembahkan seekor lembu jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa bagi dirinya dan bagi semua rakyat.
23 Setiap hari selama perayaan yang berlangsung tujuh hari itu, penguasa harus mempersembahkan tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor domba jantan yang tidak ada cacat kepada TUHAN, sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Setiap hari dia juga harus mempersembahkan seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa.