5 Separuh lagi kawasan itu hendaklah diberikan sebagai pusaka kepada orang Lewi yang bekerja di Rumah TUHAN. Bahagian itu akan menjadi kota-kota tempat tinggal mereka.
6 Di samping tanah yang suci itu harus lagi diasingkan sebidang tanah untuk sebuah kota yang boleh didiami sesiapa sahaja umat Israel. Panjangnya tanah itu hendaklah 12.5 kilometer, dan lebarnya 2.5 kilometer.
7 Tanah juga harus disediakan bagi penguasa yang memerintah. Kawasan itu bermula dari sempadan barat kawasan yang suci itu sampai ke Laut Tengah dan dari sempadan timur kawasan yang suci itu sampai ke sempadan timur negeri itu. Panjangnya tanah itu sama dengan panjangnya salah satu kawasan yang ditentukan bagi suku Israel.
8 Tanah itu akan menjadi milik penguasa yang memerintah di Israel, supaya dia tidak menindas rakyat, tetapi membiarkan tanah yang selebihnya menjadi milik suku-suku Israel.
9 TUHAN Raja berfirman, “Hai kamu yang memerintah Israel, kamu telah berdosa terlalu lama. Hentikan penindasan dan perbuatan yang kejam. Lakukan yang benar dan adil. Jangan sekali-kali usir umat-Ku dari tanah mereka lagi. Aku, TUHAN Raja, berfirman kepada kamu.
10 Setiap orang harus menggunakan timbangan dan sukatan yang tepat:
11 Satu efa untuk menakar bahan kering mesti sama dengan satu bat untuk menakar bahan cair. Ukuran piawai ialah homer. Oleh itu sukatan kamu hendaklah demikian:1 homer = 10 efa = 10 bat