Yehezkiel 46:12-18 BM

12 Jika penguasa ingin memberikan persembahan sukarela kepada TUHAN, baik korban untuk menyenangkan hati TUHAN, ataupun korban untuk memohon berkat TUHAN, pintu gerbang timur yang menuju ke halaman dalam harus dibuka baginya. Dia harus mempersembahkan korban itu dengan cara yang sama seperti yang dilakukannya pada hari Sabat, dan pintu gerbang harus ditutup semula selepas dia keluar.”

13 TUHAN berfirman, “Setiap hari pada waktu pagi, seekor anak domba yang berusia satu tahun dan tidak ada cacat harus dipersembahkan sebagai korban untuk menyenangkan hati TUHAN.

14 Pada setiap pagi harus dipersembahkan juga 2 kilogram bijirin dan 1 liter minyak zaitun untuk dicampur dengan bijirin itu. Peraturan ini harus ditaati selama-lamanya.

15 Anak domba, bijirin, dan minyak zaitun itu harus dipersembahkan kepada TUHAN pada setiap pagi untuk selama-lamanya.”

16 TUHAN Raja memberikan perintah, “Jika penguasa memberikan sebahagian tanah pusakanya kepada salah seorang anak lelakinya sebagai hadiah, tanah itu menjadi milik anak itu dan merupakan harta keluarganya.

17 Tetapi jika penguasa memberikan sebahagian tanah pusakanya kepada seorang pegawainya, tanah itu menjadi milik penguasa lagi pada Tahun Pengembalian. Tanah itu milik penguasa, dan hanya dia dan anak-anak lelakinya tetap memiliki tanah itu.

18 Penguasa itu tidak boleh merampas tanah pusaka rakyatnya. Tanah yang diberikannya kepada anak-anak lelakinya mesti tanahnya sendiri yang telah ditentukan baginya, supaya dia tidak menindas sesiapa pun umat-Ku dengan merampas tanah mereka.”