11 Bahagian suci ini untuk para imam keturunan Zadok. Mereka telah mengabdi kepada-Ku dengan setia dan tidak seperti orang Lewi sesuku mereka, yang turut berbuat dosa bersama-sama umat Israel yang lain.
12 Oleh itu keturunan Zadok harus diberikan bahagian istimewa, di samping kawasan orang Lewi. Bahagian itulah yang paling suci.
13 Orang Lewi juga akan memiliki bahagian khas di sebelah selatan tanah para imam. Luasnya juga harus 12.5 kilometer dari timur ke barat, dan 5 kilometer dari utara ke selatan.
14 Tanah yang dikhaskan untuk TUHAN ialah tanah yang terbaik di seluruh negeri. Sejengkal pun daripada tanah itu tidak boleh dijual, ditukar ataupun dipindah ke tangan orang lain, kerana tanah itu suci dan milik TUHAN.
15 Di bahagian selatan tanah yang dikhaskan itu, masih ada bahagian selebihnya yang panjangnya 12.5 kilometer dan lebarnya 2.5 kilometer. Bahagian ini tidak suci dan boleh digunakan oleh rakyat. Mereka boleh tinggal di situ dan menggunakan tanah itu sebagai padang rumput. Sebuah kota harus dibina di tengah-tengahnya,
16 dan bentuknya empat persegi; setiap sisinya berukuran 2.25 kilometer.
17 Di sekeliling kota itu harus ada tempat terbuka yang lebarnya 125 meter.