15 Di bahagian selatan tanah yang dikhaskan itu, masih ada bahagian selebihnya yang panjangnya 12.5 kilometer dan lebarnya 2.5 kilometer. Bahagian ini tidak suci dan boleh digunakan oleh rakyat. Mereka boleh tinggal di situ dan menggunakan tanah itu sebagai padang rumput. Sebuah kota harus dibina di tengah-tengahnya,
16 dan bentuknya empat persegi; setiap sisinya berukuran 2.25 kilometer.
17 Di sekeliling kota itu harus ada tempat terbuka yang lebarnya 125 meter.
18 Di sebelah timur dan barat kota itu, ada tanah terbuka yang luasnya 5 kilometer kali 2.5 kilometer. Kedua-dua bidang tanah itu harus digunakan oleh rakyat di kota itu untuk bercucuk tanam.
19 Sesiapa sahaja yang tinggal di kota itu, daripada semua suku Israel, boleh menggunakan tanah itu untuk bercucuk tanam.
20 Seluruh kawasan itu, termasuk tanah yang khusus dan tanah untuk kota, berbentuk persegi empat yang berukuran 12.5 kilometer pada setiap sisi.
21-22 Tanah di sebelah barat dan timur dari tanah yang dikhaskan untuk Rumah TUHAN, tanah para imam, tanah orang Lewi dan kota itu, ialah milik penguasa yang memerintah. Di sebelah timur, tanah itu terbentang sampai ke sempadan timur, dan di sebelah barat sampai ke Laut Tengah, dan terletak di antara tanah Yehuda di utara, dan tanah Benyamin di selatan.