8 Bahagian tanah yang selanjutnya harus diasingkan untuk kegunaan yang tertentu. Panjangnya harus 12.5 kilometer dari sempadan utara ke selatan. Sempadan timur dan barat harus sama panjangnya dengan bahagian-bahagian yang diberikan kepada suku-suku lain. Rumah TUHAN akan dibina di bahagian ini.
9 Di pusat bahagian ini, sebuah kawasan seluas 12.5 kilometer panjang dan 10 kilometer lebar, dikhaskan untuk TUHAN.
10 Para imam akan mendapat sebahagian daripada kawasan yang suci ini. Bahagian mereka seluas 12.5 kilometer dari timur ke barat, dan 5 kilometer dari utara ke selatan. Rumah TUHAN harus dibina di tengah-tengah bahagian ini.
11 Bahagian suci ini untuk para imam keturunan Zadok. Mereka telah mengabdi kepada-Ku dengan setia dan tidak seperti orang Lewi sesuku mereka, yang turut berbuat dosa bersama-sama umat Israel yang lain.
12 Oleh itu keturunan Zadok harus diberikan bahagian istimewa, di samping kawasan orang Lewi. Bahagian itulah yang paling suci.
13 Orang Lewi juga akan memiliki bahagian khas di sebelah selatan tanah para imam. Luasnya juga harus 12.5 kilometer dari timur ke barat, dan 5 kilometer dari utara ke selatan.
14 Tanah yang dikhaskan untuk TUHAN ialah tanah yang terbaik di seluruh negeri. Sejengkal pun daripada tanah itu tidak boleh dijual, ditukar ataupun dipindah ke tangan orang lain, kerana tanah itu suci dan milik TUHAN.