1 TUHAN berfirman, “Hai manusia fana, ambillah sebilah pedang yang tajam dan cukurlah janggut dan rambutmu. Kemudian timbanglah rambut itu, lalu bahagilah kepada tiga bahagian.
2 Bakarlah sepertiga rambut itu di dalam kota selepas pengepungan berakhir. Yang sepertiga lagi hendaklah engkau tetak dengan pedangmu sambil mengelilingi kota itu. Sepertiga yang terakhir harus engkau hamburkan ke udara, lalu Aku akan mengejarnya dengan pedang-Ku.
3 Ambillah beberapa utas rambut dan bungkuslah di dalam lipatan jubahmu.
4 Kemudian ambillah beberapa utas rambut itu dan lemparkannya ke dalam api hingga habis terbakar. Api itu akan menjalar ke segenap bangsa Israel.”
5 TUHAN Raja berfirman, “Lihatlah Yerusalem! Aku menempatkan kota itu di pusat dunia, dengan negeri-negeri lain di sekelilingnya.
6 Tetapi Yerusalem memberontak terhadap perintah-Ku, dan ternyata lebih jahat daripada bangsa-bangsa lain, lebih ingkar daripada negeri-negeri di sekelilingnya. Yerusalem menolak perintah-Ku dan tidak mematuhi hukum-Ku.
7 Hai Yerusalem, dengarlah apa yang Aku, TUHAN Raja firmankan. Kerana engkau tidak mentaati hukum-Ku dan tidak mematuhi perintah-Ku, engkau telah mendatangkan lebih banyak kesusahan daripada bangsa-bangsa di sekelilingmu. Engkau telah mengikut adat resam bangsa-bangsa lain.