11 Akulah Allah yang hidup, TUHAN Raja, dan inilah firman-Ku: Kerana engkau telah menajiskan Rumah-Ku dengan perbuatan yang jahat dan menjijikkan, Aku akan menghancurkan engkau tanpa kasihan.
12 Sepertiga pendudukmu akan mati kerana penyakit dan kelaparan di dalam kota, sepertiga akan mati ditikam pedang di luar kota, dan sepertiga lagi akan Kucerai-beraikan ke merata tempat dan akan Kukejar dengan pedang.
13 Engkau akan merasakan kedahsyatan kemurkaan dan keberangan-Ku sehingga Aku puas. Apabila segala perkara itu berlaku, barulah engkau yakin bahawa Aku, TUHAN, telah berfirman kepadamu kerana Aku murka terhadap ketidaksetiaanmu.
14 Setiap orang dari negeri-negeri jiran yang lalu di hadapanmu akan mengejek dan menjauhi engkau.
15 Apabila Aku murka dan meradang, Aku akan menghukum engkau, sehingga semua bangsa di sekelilingmu akan ngeri. Mereka akan menghina dan mengejek engkau.
16 Aku akan menghentikan pembekalan makananmu dan membiarkan pendudukmu kelaparan. Engkau akan mengalami kepedihan rasa lapar seperti anak panah tajam yang membinasakan engkau.
17 Aku akan mendatangkan wabak, keganasan, dan peperangan untuk membunuh pendudukmu. Aku akan mendatangkan kelaparan serta binatang buas untuk membunuh anak-anak mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.”