13 Engkau akan merasakan kedahsyatan kemurkaan dan keberangan-Ku sehingga Aku puas. Apabila segala perkara itu berlaku, barulah engkau yakin bahawa Aku, TUHAN, telah berfirman kepadamu kerana Aku murka terhadap ketidaksetiaanmu.
14 Setiap orang dari negeri-negeri jiran yang lalu di hadapanmu akan mengejek dan menjauhi engkau.
15 Apabila Aku murka dan meradang, Aku akan menghukum engkau, sehingga semua bangsa di sekelilingmu akan ngeri. Mereka akan menghina dan mengejek engkau.
16 Aku akan menghentikan pembekalan makananmu dan membiarkan pendudukmu kelaparan. Engkau akan mengalami kepedihan rasa lapar seperti anak panah tajam yang membinasakan engkau.
17 Aku akan mendatangkan wabak, keganasan, dan peperangan untuk membunuh pendudukmu. Aku akan mendatangkan kelaparan serta binatang buas untuk membunuh anak-anak mereka. Aku, TUHAN, telah berfirman.”