5 Aku akan menyelerakkan mayat umat Israel; Aku akan menyelerakkan tulang mereka di sekeliling mazbah-mazbah itu.
6 Semua kota di Israel akan dimusnahkan supaya semua mazbah dan berhala mereka akan pecah berkecai, tempat pembakaran kemenyan mereka akan hancur, dan segala yang telah dibuat mereka akan lenyap.
7 Orang akan dibunuh di serata tempat, dan mereka yang terselamat akan mengakui bahawa Akulah TUHAN.
8 Aku akan membiarkan sebilangan daripada mereka terlepas daripada pembantaian itu, lalu dicerai-beraikan di negeri-negeri lain.
9 Di sana mereka akan hidup dalam buangan. Lalu mereka akan teringat Aku dan menyedari bahawa Aku telah menghukum dan mempermalukan mereka kerana mereka tidak setia kepada-Ku. Mereka telah meninggalkan Aku dan memilih berhala, dan bukan Aku. Mereka akan merasa jijik terhadap diri mereka sendiri kerana perbuatan yang jahat dan hina yang dilakukan mereka.
10 Barulah mereka akan tahu bahawa Akulah TUHAN dan bahawa amaran-Ku bukan ancaman kosong belaka.”
11 TUHAN Raja berfirman, “Ramaslah tangan! Hentakkanlah kaki! Merataplah kerana segala perbuatan yang jahat dan menjijikkan yang telah dilakukan oleh bangsa Israel. Mereka akan mati kerana peperangan, kelaparan, atau wabak.