19 Mereka akan membuang emas dan perak seperti sampah di jalan, kerana baik perak mahupun emas tidak dapat menyelamatkan mereka apabila TUHAN melampiaskan kemurkaan-Nya. Mereka tidak dapat menggunakan emas dan perak itu untuk memuaskan diri ataupun mengenyangkan perut. Justeru emas dan peraklah yang menyebabkan mereka berdosa.
20 Pada suatu masa dahulu mereka membangga-banggakan permata yang indah, tetapi mereka menggunakannya untuk membuat berhala-berhala yang menjijikkan. Oleh itu TUHAN membuat harta mereka itu memuakkan mereka.
21 TUHAN berfirman, “Aku akan membiarkan orang bangsa asing merompak mereka. Penjahat akan merampas harta mereka serta mencemarkannya.
22 Aku tidak akan campur tangan apabila Rumah-Ku yang Aku hargai dinajiskan orang, apabila perompak masuk dan mencemarkannya.
23 Seluruh negeri kacau-bilau; negeri penuh dengan pembunuhan, dan kota-kota penuh dengan keganasan.
24 Aku akan menghantar bangsa-bangsa yang paling kejam ke negeri ini dan membiarkan mereka mendiami rumah-rumah kamu. Apabila Aku membiarkan mereka menajiskan tempat ibadat kamu, lelaki yang paling kuat antara kamu akan kehilangan semangat.
25 Kamu akan putus asa. Kamu mencari keamanan, tetapi sia-sia sahaja.