20 Pada suatu masa dahulu mereka membangga-banggakan permata yang indah, tetapi mereka menggunakannya untuk membuat berhala-berhala yang menjijikkan. Oleh itu TUHAN membuat harta mereka itu memuakkan mereka.
21 TUHAN berfirman, “Aku akan membiarkan orang bangsa asing merompak mereka. Penjahat akan merampas harta mereka serta mencemarkannya.
22 Aku tidak akan campur tangan apabila Rumah-Ku yang Aku hargai dinajiskan orang, apabila perompak masuk dan mencemarkannya.
23 Seluruh negeri kacau-bilau; negeri penuh dengan pembunuhan, dan kota-kota penuh dengan keganasan.
24 Aku akan menghantar bangsa-bangsa yang paling kejam ke negeri ini dan membiarkan mereka mendiami rumah-rumah kamu. Apabila Aku membiarkan mereka menajiskan tempat ibadat kamu, lelaki yang paling kuat antara kamu akan kehilangan semangat.
25 Kamu akan putus asa. Kamu mencari keamanan, tetapi sia-sia sahaja.
26 Bencana dan berita buruk akan datang terus-menerus. Ketika itu kamu akan memohon para nabi untuk menyatakan penglihatan, tetapi sia-sia sahaja. Para imam tidak mempunyai apa-apa untuk diajarkan kepada umat, dan orang tua-tua kehabisan nasihat.