1 Di tanah Us, tinggal seorang lelaki yang bernama Ayub. Dia menyembah Allah dan setia kepada-Nya. Dia seorang yang baik budi, yang selalu berhati-hati agar tidak melakukan perbuatan jahat.
2 Dia mempunyai tujuh orang anak lelaki dan tiga orang anak perempuan,
3 serta memiliki sebanyak 7,000 ekor domba, 3,000 ekor unta, 1,000 ekor lembu, dan 500 ekor keldai. Dia juga mempunyai banyak hamba, dan dialah orang yang paling kaya antara penduduk di daerah Timur.
4 Anak-anak lelaki Ayub biasanya mengadakan jamuan di rumah masing-masing secara bergilir. Mereka juga sentiasa mengundang ketiga-tiga orang saudara perempuan mereka ke jamuan itu.
5 Selepas setiap jamuan, pada esok paginya, Ayub akan bangun pagi-pagi dan mempersembahkan korban bagi setiap anaknya untuk menyucikan mereka. Dia sentiasa berbuat demikian kerana pada fikirannya, mungkin salah seorang anaknya telah berdosa dan menghina Allah dengan tidak sengaja.
6 Pada suatu hari makhluk-makhluk syurga menghadap TUHAN, dan Si Penggoda juga hadir bersama-sama mereka.