1 Kemudian Elifas menjawab,
2 “Cakap kosong, Ayub! Engkau bercakap kosong!
3 Tiada orang bijak akan bercakap seperti engkau,ataupun membela dirinya dengan kata-kata yang tidak bermakna.
4 Engkau menawarkan hati orang yang takut kepada Allah;engkau menghalang mereka berdoa kepada-Nya.
5 Kata-katamu membuktikan bahawa engkau bersalah,tetapi kejahatanmu engkau tutup dengan kata-kata licik.
6 Tidak payahlah aku menyalahkan engkau;engkau telah disalahkan oleh setiap katamu sendiri.
7 Adakah engkau berfikir bahawa engkau orang yang pertama dilahirkan?Adakah engkau hadir ketika gunung diciptakan?
8 Adakah engkau mendengar rancangan yang dibuat oleh Allah?Adakah engkau sahaja yang memiliki hikmat manusia?
9 Segala yang engkau ketahui, kami ketahui juga;segala yang engkau fahami, jelas pula bagi kami.
10 Kami mendapat hikmat daripada orang yang beruban,mereka sudah ada sebelum bapamu dilahirkan.
11 Mengapakah penghiburan Allah enggan engkau terima?Kami bercakap dengan sabar dan lembut bagi pihak-Nya.
12 Mengapakah engkau terbawa-bawa oleh perasaan,dan mengapakah matamu menyala-nyala,
13 sehingga engkau marah kepada Allah dan mengecam Dia?
14 Adakah manusia betul-betul tidak bercela?Dapatkah manusia dibenarkan di hadapan Allah?
15 Bahkan kepada malaikat-Nya pun Allah tidak percaya;malaikat-malaikat pun tidak suci di sisi-Nya.
16 Apalagi manusia yang jijik dan tidak berguna,yang meneguk kejahatan seperti air sahaja.
17 Sekarang dengarlah, hai Ayub,akan apa yang aku ketahui.
18 Orang bijaksana telah mengajar aku hal itu,yang diterima mereka daripada nenek moyang dahulu.
19 Pada waktu itu tiada orang asing di tanah mereka,tiada seorang pun yang menyebabkan mereka meninggalkan Allah.
20 Orang jahat ditimpa penderitaan sepanjang masa,orang ganas akan hidup terseksa sepanjang umur mereka.
21 Mereka akan mendengar suara yang menakutkan,dan perompak akan menyerang mereka pada masa yang aman.
22 Mereka tidak dapat mengelakkan kegelapan,kerana pembunuh yang berpedang mengejar mereka pada setiap kesempatan.
23 Burung nasar menunggu untuk makan mayat mereka;mereka tahu bahawa mereka akan binasa.
24 Mereka cemas dan amat menderitaseperti diserang oleh raja perkasa.
25 Begitulah kesudahan orang yang berani melawan Allah,dan mencabar Yang Maha Kuasa.
26-27 Mereka sombong dan suka memberontak;dengan degil mereka mengangkat perisaidan tergesa-gesa melawan Allah.
28 Itulah orang yang telah menaklukkan kota-kota,dan merampas rumah-rumah yang sudah ditinggalkan.Kota-kota itu sudah ditentukan untuk tetap menjadi reruntuhan.
29 Mereka tidak akan tetap kaya untuk waktu yang lama;segala milik mereka tidak akan kekal.Bahkan bayang-bayang mereka pun akan lenyap,
30 dan mereka tidak akan terlepas daripada kegelapan.Mereka akan menjadi seperti pokokyang cabangnya dibakar api;mereka akan dimusnahkan oleh hembusan nafas Allah.
31 Jika mereka percaya kepada yang tidak berguna,yang akan diterima mereka tidak berguna juga.
32 Sebelum masanya, mereka akan mati,seperti cabang layu yang tidak menghijau lagi.
33 Mereka seperti pokok anggur yang gugur buahnya,dan seperti pokok zaitun yang jatuh bunganya.
34 Orang yang tidak mengenal Allah tidak akan berketurunan,dan api akan memusnahkan rumah yang dibina daripada hasil suapan.
35 Itulah orang yang merancang serta melakukan kejahatan;hati mereka sentiasa penuh dengan penipuan.”