Ayub 24 BM

1 Mengapakah Allah tidak menetapkan hari penghakiman,supaya orang yang mengenal Dia mendapat keadilan?

2 Ada orang memindahkan batu sempadan untuk meluaskan tanah;mereka mencuri domba lalu mengandangkannya dengan ternakan mereka.

3 Mereka merampas keldai kepunyaan anak yatim piatu,dan sebagai jaminan, mereka mengambil lembu jantan daripada balu.

4 Mereka menghalang orang miskin mendapat hak mereka sendiri,maka orang papa terpaksa bersembunyi.

5 Oleh itu seperti keldai liar, orang miskin mencari makanan di padang belukar;di tempat itu sahaja terdapat makanan untuk anak-anak mereka.

6 Mereka terpaksa memungut gandum di ladang orang laindan memetik buah anggur di ladang orang durjana.

7 Mereka tidur tanpa selimut pada waktu malam,tanpa sesuatu untuk menghangatkan badan.

8 Mereka basah kuyup kerana hujan yang turun di atas gunung,mereka berhimpit-himpit pada bukit batu untuk berlindung.

9 Orang jahat memperhamba anak-anak yang kehilangan bapa,dan mengambil bayi orang miskin sebagai jaminan.

10 Orang miskin terpaksa keluar tanpa pakaian;ketika menuai gandum mereka kelaparan.

11 Daripada buah zaitun mereka membuat minyak,dan daripada buah anggur, mereka membuat minuman,tetapi mereka sendiri kehausan.

12 Di bandar terdengar tangisan orang yang cedera,dan orang yang hampir putus nyawa,tetapi Allah tidak mendengarkan doa mereka.

13 Ada orang yang menolak cahaya,mereka tidak mengenalnya dan tidak mengikut jalannya.

14 Pada waktu subuh, pembunuh keluar membunuh orang miskin;dan pada waktu malam, mereka keluar mencuri.

15 Orang yang berzina menantikan senja,supaya tidak dikenali, mereka menutup muka.

16 Pada waktu malam pencuri memecah rumah orang,tetapi pada waktu siang mereka bersembunyi dan mengelakkan cahaya.

17 Bagi mereka, pagi hari menakutkan,tetapi kegelapan yang dahsyat, menyenangkan.”

18 “Orang jahat dihanyut oleh air bah,dan tanah yang dimiliki mereka disumpah oleh Allah;mereka tidak lagi bekerja di ladang anggur mereka.

19 Seperti salji hilang kena kemarau dan matahari,orang berdosa pun hilang, ditelan dunia orang mati.

20 Ibu mereka sendiri melupakan mereka,dan cacing memakan tubuh mereka.Nama mereka tidak lagi dikenang;mereka dimusnahkan seperti pokok yang tumbang.

21 Hal itu berlaku kerana mereka menganiaya balu,dan tidak mengasihani wanita mandul.

22 Allah dengan kuasa-Nya, membinasakan orang perkasa;Allah bertindak, maka matilah orang durjana.

23 Allah mungkin membiarkan mereka hidup sentosa,tetapi Dia mengawasi mereka sepanjang masa.

24 Hanya sebentar orang jahat berjaya,lalu hilang selama-lamanya.Mereka layu seperti rumpai,seperti gandum yang dipotong daripada tangkai.

25 Dapatkah sesiapa menyangkal perkara itu?Dapatkah sesiapa menentang kebenaran kata-kataku?”