5 Dahulu aku hanya mendengar tentang Engkau,tetapi kini aku sendiri melihat Engkau.
6 Oleh itu, aku malu kerana segala perkataanku,dan dengan menyesal aku duduk dalam debu dan abu.”
7 Setelah selesai berfirman kepada Ayub, TUHAN memberitahu Elifas, “Aku murka terhadap engkau dan kedua-dua orang sahabatmu, oleh sebab engkau tidak berkata yang benar tentang diri-Ku, seperti yang dilakukan hamba-Ku Ayub.
8 Sekarang bawalah tujuh ekor lembu jantan dan tujuh ekor domba jantan kepada Ayub, dan persembahkanlah semuanya sebagai korban untuk menyenangkan hati-Ku, demi kepentingan diri kamu. Ayub akan berdoa untuk kamu, dan Aku akan mengabulkan doanya. Maka Aku tidak akan memalukan kamu meskipun kamu patut menerima hukuman. Kamu tidak berkata yang benar tentang diri-Ku seperti yang dilakukan Ayub.”
9 Elifas, Bildad, dan Zofar melakukan apa yang telah diperintahkan TUHAN, dan TUHAN mengabulkan doa Ayub.
10 Kemudian, selepas Ayub berdoa untuk ketiga-tiga orang sahabatnya, TUHAN menjadikan Ayub kaya semula, dan memberi dia kekayaan dua kali ganda daripada yang pernah dimilikinya.
11 Semua saudara lelaki dan perempuan Ayub, serta semua kenalannya yang lama datang melawat dia dan berjamu bersama-sama Ayub di rumahnya. Mereka turut berdukacita dengan Ayub kerana segala kesusahan yang telah didatangkan TUHAN kepadanya, dan mereka menghibur dia. Tiap-tiap seorang daripada mereka memberi dia sekeping wang perak dan sebentuk cincin emas.