1 Seorang penguasa yang cekap dan bijaksana mendidik rakyatnya dan menjalankan pemerintahannya dengan teratur.
2 Seperti penguasa begitu juga pegawainya, dan seperti pemerintah kota begitu juga penduduknya.
3 Seorang raja yang tidak terdidik menghancurkan rakyatnya. Sebuah kota yang diperintah oleh orang bijaksana akan makmur.
4 Tuhan mengawasi pemerintahan dunia dan Dia mengangkat orang yang sesuai untuk memerintah pada waktu yang tepat.
5 Kejayaan orang ada di dalam tangan Tuhan, dan Tuhanlah yang menganugerahi para pegawai.
6 Jangan kesal kepada sesamamu kerana setiap kesalahan yang dibuat mereka, dan jangan lakukan tindakan kekerasan.
7 Keangkuhan dan ketidakadilan dibenci oleh Tuhan mahupun manusia.
8 Akibat kelaliman, keangkuhan dan wang, pemerintah yang satu digulingkan dan diganti oleh yang lain.
9 Manusia hanya debu dan abu; apa pula yang mahu dibanggakan? Selagi masih hidup pun, badan sudah mula membusuk.
10 Penyakit yang tidak mahu sembuh membingungkan para doktor. Malahan seorang raja pun yang memerintah hari ini, akan mangkat pada esoknya.
11 Apabila seorang mati, yang dimilikinya hanyalah cacing, lalat, dan ulat.
12 Kebongkakan timbul sejak orang meninggalkan Tuhan dan menjauhkan hati mereka daripada Pencipta mereka.
13 Hal itu demikian kerana punca kebongkakan ialah dosa. Orang yang bersifat sombong terus-menerus berbuat keji. Itulah sebabnya Tuhan menyeksa mereka dengan berat dan membinasakan mereka sama sekali.
14 Tuhan telah menggulingkan raja-raja dan mengangkat orang yang rendah hati sebagai pengganti.
15 Tuhan telah mencabut bangsa-bangsa bersama dengan akar-akar mereka, dan menggantikan mereka dengan yang rendah hati.
16 Negeri mereka digulingkan-Nya dan dihancurkan-Nya sama sekali.
17 Bahkan ada yang dimusnahkan dan dilenyapkan dari muka bumi sehingga tidak diingat lagi.
18 Tuhan Pencipta tidak memaksudkan kebongkakan dan kemarahan yang hebat bagi manusia.
19 Siapa yang patut dihormati? Orang yang takut kepada Tuhan. Siapa yang patut dicela? Orang yang melanggar perintah Tuhan.
20 Seorang pemimpin dihormati di kalangan saudaranya, dan Tuhan memberi kehormatan kepada orang yang takut kepada-Nya.
22 Takut kepada Tuhan menjadi kebanggaan setiap orang, baik yang kaya, yang terkenal, mahupun yang miskin.
23 Tidak baik menghina orang miskin yang arif, dan tidak patut menghormati orang yang berdosa.
24 Orang terkemuka, para penguasa, dan hakim-hakim dihormati, tetapi antara mereka tidak ada yang lebih besar daripada yang takut kepada Tuhan.
25 Seorang hamba yang bijaksana akan dilayani oleh orang yang bebas, dan orang yang berbudi tidak akan bersungut-sungut kerananya.
26 Jangan berlagak pandai pada waktu engkau bekerja, dan jangan berlagak orang besar pada waktu engkau kekurangan.
27 Lebih baik bekerja dan mempunyai kelimpahan daripada berlagak orang besar tetapi kekurangan makanan.
28 Anakku, hendaklah engkau mempunyai harga diri yang disertai kerendahan hati. Hargailah dirimu dengan sewajarnya.
29 Siapa akan menyatakan benar orang yang berdosa terhadap diri mereka sendiri? Siapa akan menghormati orang yang tidak menghormati diri mereka sendiri?
30 Orang miskin dihormati kerana pengetahuan mereka, sedangkan orang kaya dihormati kerana harta mereka.
31 Kalau seseorang dihormati padahal dia miskin, apalagi kalau dia kaya. Kalau seseorang dihina padahal dia kaya, apalagi kalau dia miskin.