Sirakh 9 BMDC

Wanita

1 Jangan cemburu kepada isterimu, kerana dengan demikian engkau mengajar dia berbuat jahat kepadamu.

2 Jangan serahkan dirimu kepada seorang wanita, nanti dia menguasai engkau.

3 Jauhilah perempuan pelacur, supaya engkau jangan jatuh ke dalam perangkap mereka.

4 Jangan bergaul dengan penari perempuan, nanti engkau terjerat oleh pujukan mereka.

5 Jangan pandang seorang gadis dengan ghairah, nanti engkau kena hukuman kerana dia.

6 Jangan serahkan dirimu kepada seorang perempuan pelacur, nanti engkau kehilangan segala milikmu.

7 Jangan pandang keliling di jalan-jalan di kota, atau mengembara di bahagian kota yang sunyi.

8 Jika engkau melihat seorang wanita cantik, palingkanlah pandanganmu. Jangan terpikat dengan kecantikan seorang wanita yang bukan isterimu, oleh sebab hal itu menyalakan hawa nafsu seperti api. Banyak orang sudah disesatkan oleh kecantikan wanita.

9 Jangan duduk-duduk bersama isteri orang lain dan jangan berpesta dan minum-minum dengan dia kerana engkau akan terpikat padanya, lalu terbawa oleh hawa nafsumu sehingga engkau binasa.

Hubungan dengan Orang Lain

10 Jangan tinggalkan sahabat lama, kerana engkau tidak akan menemukan orang lain seperti dia. Persahabatan sama dengan wain: makin lama makin menyenangkan.

11 Jangan iri hati kalau seorang yang berdosa itu berjaya; engkau tidak tahu bencana apa akan menimpa dia.

12 Jangan gemar akan hal-hal yang menjadi kesenangan orang jahat, oleh sebab mereka tidak akan terlepas daripada hukuman hingga mereka mati.

13 Jauhilah orang yang mempunyai kuasa untuk membunuh engkau, maka engkau tidak akan diseksa oleh ketakutan akan kematian. Tetapi jika engkau harus mendekati mereka, jangan buat kesalahan supaya mereka tidak membunuh engkau. Ingatlah bahawa engkau sentiasa dalam bahaya dan merupakan sasaran yang mudah.

14 Berusahalah sedapat-dapatnya untuk mengenal orang di sekitarmu, dan mintalah nasihat orang bijaksana.

15 Berbincang-bincanglah dengan orang cerdas, dan perbincanganmu hendaknya tentang hukum Allah Yang Maha Tinggi.

16 Hendaknya orang jujur menjadi kawan akrabmu, dan takut kepada Tuhan menjadi kebanggaanmu.

Para Penguasa

17 Sesuatu barang dipuji kerana tangan orang yang membuatnya, dan seorang pemimpin rakyat yang bijaksana dipuji kerana perkataannya.

18 Orang yang suka berbual dan banyak bercakap, ditakuti dan dibenci oleh orang sekota mereka.