1 Raja Yosia meninggalkan nama yang sangat harum seperti kemenyan yang dicampur dengan cekap, seperti mengecapi madu yang manis atau seperti muzik pada pesta wain.
2 Baginda berusaha dengan jalan yang benar, untuk mengembalikan rakyat kepada Tuhan. Baginda juga membasmi kekejian pemujaan berhala.
3 Baginda setia kepada Tuhan dengan sebulat hati, dan pada masa yang penuh kejahatan, baginda memperkuat kesalihan umat.
4 Semua raja kecuali Raja Daud, Raja Hizkia, dan Raja Yosia, adalah orang yang sangat berdosa kerana meninggalkan Taurat Allah Yang Maha Tinggi. Oleh sebab itu raja-raja Yehuda lenyap.
5 Mereka menyerahkan kekuasaan dan kehormatan mereka kepada orang asing
6 yang membakar kota Yerusalem dan Rumah Tuhan. Maka lenganglah jalan-jalan,
7 seperti yang telah diramalkan oleh Nabi Yeremia. Yeremia diperlakukan dengan jahat, walaupun sejak dari rahim ibunya, dia dipilih menjadi nabi untuk mencabut, membasmi, dan membinasakan, tetapi juga untuk membangun dan menanam.
8 Yehezkiel mendapat penglihatan tentang kemuliaan Allah yang ditunjukkan kepadanya di atas kereta kuda dan kerub-kerub.
9 Tuhan ingat akan musuh-musuh-Nya dan menimpa mereka dengan badai. Tetapi Dia berbuat baik kepada orang yang hidup dengan tulus hati.
10 Semoga dua belas orang nabi dibangkitkan dari kuburan mereka, oleh sebab mereka telah menghibur dan menyelamatkan bangsa Israel dengan memberi harapan yang teguh.
11 Bagaimana kita dapat memuji Zerubabel? Dia seperti cincin meterai di tangan kanan.
12 Begitu juga Yosua anak Yozadak. Pada zamannya Rumah Allah yang suci dibina semula dan diperuntukkan bagi keagungan untuk selama-lamanya.
13 Nehemia pun sangat termasyhur kenangannya. Tembok-tembok Yerusalem yang runtuh dibina semula bagi kita. Dipasangnya pintu-pintu gerbang serta palang pintu. Juga rumah-rumah kita dibinanya semula.
14 Di dunia tidak ada orang seperti Henokh, kerana dia diangkat dari bumi ini.
15 Belum pernah dilahirkan seorang seperti Yusuf, pemimpin saudara-saudaranya dan penyokong bangsanya. Bahkan tulang-tulangnya diperhatikan orang.
16 Sem dan Set juga terhormat, tetapi di kalangan semua makhluk hidup, tidak ada yang lebih agung daripada Adam.