Sirakh 21 BMDC

Dosa

1 Jika engkau telah berdosa, hai anakku, janganlah berdosa lagi, tetapi berdoalah supaya dosamu diampunkan.

2 Jauhilah dosa seperti menjauhi ular. Jika engkau mendekatinya, pasti engkau dipatuknya. Giginya seperti gigi singa yang merenggut nyawa manusia.

3 Setiap pelanggaran hukum meninggalkan luka yang tidak dapat disembuhkan, seperti tusukan pedang bermata dua.

4 Kezaliman dan keganasan dapat memusnahkan harta kekayaan. Begitu juga rumah orang bongkak akan hancur.

5 Allah mendengarkan doa orang miskin dan segera memberi keadilan kepada mereka.

6 Orang yang tidak mahu menerima teguran, mengikuti jejak orang yang berdosa. Tetapi orang yang takut kepada Tuhan bertaubat dalam hati.

7 Orang yang bermulut besar terkenal di mana-mana, tetapi seorang yang arif sedar apabila dia berbuat salah.

8 Seorang yang meminjam wang untuk membina rumahnya, sama dengan seorang yang mengumpulkan batu untuk kuburannya.

9 Kumpulan orang jahat seumpama timbunan kayu bakar; akhirnya mereka akan musnah ditelan api.

10 Jalan yang ditempuh orang yang berdosa halus dan rata, tetapi jalan itu menuju ke dunia orang mati.

Kebijaksanaan dan Kebodohan

11 Seorang yang mematuhi Taurat dapat menguasai fikirannya. Orang yang bijaksana ialah orang yang takut kepada Tuhan dalam segala hal.

12 Hanya orang pintar dapat dididik, tetapi ada juga kepintaran yang hanya mendatangkan kepahitan.

13 Pengetahuan orang bijaksana seperti banjir yang meluap. Nasihat mereka terus mengalir seperti mata air yang hidup.

14 Sebaliknya fikiran orang bodoh seperti tempayan retak; apa sahaja yang dipelajari mereka segera hilang.

15 Apabila seorang terpelajar mendengar kata-kata bijaksana, dia memberi pujian dan mendapat gagasan lain. Tetapi kalau orang yang kurang berfikir mendengarnya, dia tidak senang dan menolaknya.

16 Mendengar bualan orang bodoh, samalah dengan memikul beban berat di perjalanan, tetapi mendengar kata-kata orang arif merupakan kenikmatan.

17 Kata-kata orang arif dialu-alukan oleh jemaah dan direnungkan di dalam hati.

18 Bagi orang bodoh, kebijaksanaan tidak berguna seperti rumah yang sudah hancur. Pengetahuan orang bodoh merupakan kata-kata yang tidak difahami oleh mereka sendiri.

19 Pendidikan seperti belenggu bagi orang bodoh,

20-21 tetapi seperti gelang emas bagi orang arif. Orang bodoh tertawa terbahak-bahak, tetapi orang pandai diam-diam tersenyum.

22-23 Orang bodoh mengintip dari pintu rumah orang lain dan langsung masuk, sedangkan orang terdidik menunggu dengan sopan di hadapan pintu.

24 Orang yang kurang ajar memasang telinga pada pintu, tetapi orang terdidik malu berbuat demikian.

25 Seorang pembual mengulangi perkataan orang lain, tetapi seorang cerdik menimbang-nimbang perkataannya.

26 Orang bodoh mengatakan apa sahaja yang timbul dalam fikiran mereka, tetapi orang bijaksana berfikir dahulu sebelum bercakap.

27 Kalau orang jahat mengutuk syaitan, mereka mengutuk diri sendiri.

28 Seorang yang suka memfitnah mencemarkan diri sendiri, dan dia dibenci oleh setiap orang di lingkungannya.