1 Hormatilah doktor-doktor dengan sepatutnya, oleh sebab mereka ciptaan Tuhan dan engkau memerlukan mereka.
2 Kemahiran mereka berasal daripada Yang Maha Tinggi, dan untuk itu mereka diupah oleh raja.
3 Oleh sebab pengetahuan mereka, mereka diberi kedudukan yang penting dan sangat dikagumi oleh orang terkemuka.
4 Tuhan menciptakan ubat-ubatan dari bumi, dan orang yang berakal tidak memperkecilkannya.
5 Tidakkah sebatang pokok membuat air yang tawar sesuai untuk diminum, supaya kuasa Tuhan menjadi nyata?
6 Dia memberi pengetahuan perubatan kepada manusia, supaya mereka memuji-Nya kerana perbuatan-perbuatan-Nya yang ajaib.
7-8 Ahli ubat mencampur ubat-ubatan dan doktor menggunakannya untuk menyembuhkan penyakit dan menghilangkan rasa sakit. Dengan demikian Tuhan bekerja dengan tidak henti-hentinya; Dia memberi kesihatan kepada orang di bumi.
9 Anakku, jika engkau jatuh sakit, jangan bersikap tidak mempedulikannya. Berdoalah kepada Tuhan, maka Dia akan menyembuhkan engkau.
10 Bersihkanlah hatimu daripada segala dosa, jauhilah segala kesalahan dan selanjutnya bertindaklah dengan baik.
11 Persembahkanlah kemenyan dan korban untuk mengucap syukur kepada Tuhan serta minyak, sesuai dengan kemampuanmu.
12 Lalu panggillah seorang doktor, kerana dia pun ciptaan Tuhan. Jangan biarkan dia pergi, oleh sebab engkau memerlukan dia.
13 Ada kalanya kesembuhanmu tergantung kepada kecekapan doktor.
14 Doktor itu juga berdoa kepada Tuhan supaya dia berhasil meringankan penderitaan orang sakit dan menyembuhkan mereka.
15 Tetapi seorang yang berdosa terhadap Penciptanya, biarlah orang itu jatuh sakit.
16 Anakku, menangislah kalau ada seorang yang meninggal, dan merataplah untuk menunjukkan kesedihanmu. Uruslah jenazahnya sebagaimana mestinya dan ikutlah menguburkannya.
17 Menangislah dengan pedih dan merataplah dengan sangat. Berkabunglah dengan cara yang wajar baginya selama satu atau dua hari supaya engkau jangan dicela. Sesudah itu, hiburlah hatimu dan jangan terus berdukacita,
18 oleh sebab kesedihan dan kemurungan dapat merosotkan kesihatan, bahkan menyebabkan kematian.
19 Dalam malapetaka orang tetap bersedih, seperti hidup seorang miskin memberatkan hatinya.
20 Jangan biarkan hatimu dimakan kesedihan; singkirkanlah perasaan itu dan ingatlah bahawa kita semua akan mati.
21 Jangan lupa bahawa orang mati tidak akan kembali lagi. Jadi segala kesedihan tidak berguna baginya dan hanya merugikan dirimu sendiri.
22 Engkau juga akan mati seperti dia. Kelmarin gilirannya, esok giliranmu.
23 Apabila orang mati sudah direhatkan, jangan ingat akan dia lagi. Setelah kepergiannya, hiburlah hatimu.
24 Seorang ahli kitab dapat menjadi bijaksana kalau mempunyai banyak masa untuk belajar dan hanya sedikit tugas yang lain.
25 Bagaimanakah dia akan menjadi bijaksana kalau hanya memegang gagang bajak, membanggakan tongkat penghalau, menggiring lembu dan sibuk dengan tugas-tugas itu, serta percakapannya hanya tentang ternakan?
26 Perhatiannya hanya tertuju kepada membajak alur yang lurus dan memberi makan kepada ternakannya.
27 Sama halnya dengan seorang yang rajin melakukan kerja tangan yang bekerja siang dan malam. Mereka mengukir cincin meterai dan dengan tekun membuat corak-corak baru. Mereka berusaha untuk membuat lukisan yang mirip aslinya dan bekerja hingga jauh malam untuk menyelesaikannya.
28 Begitu juga dengan seorang tukang besi yang duduk dekat dengan paron dan mengerjakan besi dengan penuh perhatian. Kulitnya hangus sementara dia bekerja keras di hadapan dapur api. Telinganya menjadi tuli kerana pukulan tukul, sambil matanya memperhatikan bentuk buatannya. Dia berusaha untuk menyelesaikan pekerjaannya, dan sampai larut malam menghiasinya sehingga sempurna.
29 Sama halnya dengan seorang tukang periuk yang duduk pada pelarikan dan memutarnya dengan kaki. Dia selalu khuatir tentang pekerjaannya dan bekerja keras supaya dapat membuat periuk sebanyak mungkin.
30 Dia melunakkan tanah liat dengan kaki lalu membentuknya dengan tangan. Perhatiannya tertuju kepada sepuh yang disapu dengan semestinya, lalu dia bekerja sehingga jauh malam membersihkan alat pembakarannya.
31 Mereka semua mahir, masing-masing pakar dalam pekerjaannya.
32 Tanpa mereka, tidak dapat dibina kota-kota, dan orang tidak dapat tinggal atau hidup di sana. Tetapi mereka tidak dipilih menjadi anggota dewan rakyat,
33 dan tidak menonjol di majlis-majlis tempatan. Mereka tidak dijadikan hakim dan tidak mengerti hal undang-undang. Mereka tidak dapat menerangkan ajaran dan hukum, dan tidak pernah menggunakan pepatah,
34 tetapi oleh sebab pekerjaan mereka, dunia ini tetap bertahan. Bagi mereka, berdoa sama dengan melakukan pekerjaan mereka.